Masa Depan Malaysia Dalam Kacamata Generasi Pewaris
Tarikh: 27/03/2009
Politik – ini musim peralihan kuasa dalam parti terbesar dan paling berpengaruh. 6 juta pengundi muda baharu akan menjadi penentu menjelang PRU13. Setakat ini tiada petunjuk bahawa trend semasa kembali mendokongh status quo. Setakat yang berlaku di persada maya, sentiment anti establishment masih menebal.
Ekonomi – Dunia menghadapi krisis terburuknya. Dan Malaysia sedang melihat dan mencari-cari apakah formula yang boleh memulihkan upaya bertahannya kini dan apakah resepi untuk keutuhan ekonomi masa depan. Defisit besar merupakan beban kepada generasi mendatang.
Adakah generasi muda menyedari hakikat ini? Sejauh manakah mereka terlibat dan merasa insaf dengan cabaran semasa? Berapa ramaikah yang merasa terpanggil dan merasa ada pertanggungjawapan demi mencipta masa depan Malaysia yang lebih utuh?
Terkadang kami melihat perdebatan dalam kalangan pimpinan mahasiswa terlalu suntuk dan berbau politik yang sempit tidak kiralah pihak mana yang mereka wakili.
Kalau Malaysia benar-benar ingin melihat reality masa depannya, maka Malaysia harus menyandarkan harapan kepada akal-akal mudanya yang masih subur, sihat dan bersih. Tunas-tunas masa depan masa ini seringkali mendapat tempat di sampingan dalam pentas polemic nasional kerana kononnya masih mentah. Mereka hanay berdebat dalam kepompong sendiri dan seringkali hanya secara maya.
Jika kita ingin meletakkan harapan kepada generasi pewaris, maka kita harus melihat upaya dan daya mereka mengartikulasikan persoalan pokok dalam membina masa depan Malaysia yang lebih gemilang. Apakah kelemahan semasa yang perlu Malaysia tangani?
Demokrasi yang separuh matang?
Ketirisan dan ketidakcekapan pentadbiran?
Perpaduan yang artificial?
Pengukuhan sistem kehakiman?
Pendidikan yang tumpul?
Di manakah kunci kepada masa depan Malaysia yang lebih utuh dan berdaya maju.
Jika diukur dengan perbandingan Negara setara, Malaysia ketinggalan dalam ekonomi, sumber manusia dan teknologi berbanding beberapa kalangan Negara yang merdeka dan memiliki sumber yang tidak jauh berbeza. Namun disebabkan polisi, resource curse atau leka dengan kesenangan, daya saing Malaysia semakin menumpul dan ini harus ditangani sebagai sebahagian daripada cabaran kepimpinan Negara masa hadapan.
Kita tanyakan pandangan antara minda muda terbaik Malaysia – apakah harapan masih ada? Jika ada, maka apakah kunci kepada peralihan yang benar-benar bermakna itu?
Di Luar Lingkungan mengundang antara minda dan jiwa muda Malaysia yang terbaik untuk mempersepsikan masa depan daripada kacamata generasi pewaris.